Antara lokasi tumpuan tersebut ialah Cameron Highlands, Pahang dan bandar raya Melaka yang sesak teruk dengan keha­diran ribuan pengunjung. Kedua-dua lokasi tersebut sudah sedia maklum dalam kalangan rakyat Malaysia kerana ia menjadi tumpuan utama masyarakat tempatan bercuti.

Dalam keghairahan bercuti dan pulang ke kampung, lebuh-lebuh raya utama juga tidak kurang sesaknya. Apabila lebuh raya sesak sudah pasti hentian Rawat dan Rehat (R&R) menjadi tumpuan orang ramai untuk singgah sebentar merehatkan badan, solat, pergi ke tandas atau makan dan minum di gerai-gerai yang disediakan.

Dalam kesesakan tersebut, masalah tempat meletak kenderaan turut menguji kesabaran ramai pemandu di negara ini terutama dalam keadaan cuaca yang panas terik.

Pelbagai ragam dapat disaksikan apabila para pemandu meletakkan kende­raan sama ada di bahu jalan atau sekadar berhenti seketika di belakang kenderaan orang lain.

Bagaimanapun, ragam seorang warga emas kelainan upaya (OKU) menegur seorang pemandu yang meletakkan kenderaan di tempat letak kereta khas untuk golongan itu menjadi tumpuan mata penulis dan pe­ngunjung lain di sebuah R&R di utara tanah air.

Lelaki berkenaan yang memakai tongkat turun dari kenderaannya. Dia berjalan terenjut-enjut dan mengetuk cermin ken­deraan itu agar pemandu berkenaan mengalihkan kenderaannya. Dia juga sempat menegur perbuatan pemandu berkenaan kerana perbuatan tersebut menyukarkan golongan sepertinya yang memerlukan lokasi yang lebih dekat untuk ke tandas, surau atau gerai.

Mujurlah tiada perkara yang tidak diingini berlaku apabila lelaki di dalam kenderaan itu segera mengalihkan kenderaannya.

Kejadian itu antara secebis ragam kehidupan di Malaysia yang mengambil mudah sesuatu perkara atau lebih mementingkan diri sendiri sehingga tergamak menggunakan kemudahan tersebut yang telah dikhaskan kepada golongan berkenaan. Walaupun petak tersebut kosong, kita sebagai golongan yang sempurna tubuh badan sebaik-baiknya mengelak daripada menggunakan kemudahan itu.

Ini berikutan golongan OKU di negara ini jumlah­nya bukan sedikit dan pasti mereka amat memerlukan kemudahan yang telah disediakan untuk mereka. Tambahan pula, golongan OKU juga sebahagian daripada masyarakat dan memerlukan peluang untuk menjalani kehidupan seperti orang lain.

Mereka juga masih memperjuangkan hak-hak mereka seperti akses untuk mendapatkan kemudahan pengangkutan awam dan kompleks beli-belah yang lebih baik.

Menurut Portal Rasmi Jabatan Kemajuan Masyarakat, bilangan OKU pada tahun 2016 ialah seramai 409,269 orang. Ia dipe­cahkan kepada tujuh ka­tegori iaitu ketidakupayaan penglihatan (36,692), pendengaran (31,937), fizikal (142,600), masalah pembelajaran (143,334), pertuturan (2,104), mental (33,518) dan pelbagai (19,084).

Mengikut Akta Orang Kurang Upaya 2008, OKU termasuklah mereka yang mempunyai kekurangan jangka panjang fizikal, mental, intelektual atau deria yang apabila berinteraksi dengan pelbagai halangan, boleh menyekat penyertaan penuh dan berkesan mereka dalam masyarakat.