Benar ia merupakan sebuah program hiburan rutin tahunan yang isunya sekadar remeh-temeh dan tidak layak dijadikan perbincangan serius. Namun, sikap fanatik sesetengah peminat telah menjadikan program itu semacam pilihan raya yang beraneka ragam.

Biarpun tidak mendatangkan kacau-bilau atau menggugat ketenteraman awam dalam kehidupan realiti, suhu kepanasan emosi peminat yang obses di laman-laman media sosial sebenarnya boleh menye­makkan kepala jika dilayan satu-persatu.

Sebagai pihak yang menjadi isu-isu hiburan sebagai bidang pekerjaan, isu-isu tidak puas hati dengan apa jua keputusan pertandingan atau anugerah dunia hiburan seperti yang berlaku dalam program tersebut baru-baru ini sebenar­nya bukan perkara biasa.

Ibarat kata pepatah, rumah siap paku masih berbunyi. Sebutlah pertandingan apa pun, daripada Festival Filem, Anugerah Juara Lagu, Anugerah Industri Muzik, Anugerah Skrin atau Anugerah Sri Angkasa sampailah Maharaja Lawak Mega dan Kilauan Emas. Semuanya pasti ada sahaja yang tidak kena pada mata sesetengah pihak. Bezanya, dulu-dulu aktiviti ‘membawang’ di media sosial tidak sehebat sekarang.

Kecintaan melampau atau boleh juga disebut obsesi peminat terhadap mana-mana artis pujaan mereka sememangnya tidak boleh dijangkakan. Ada yang sanggup ‘bertikam jari’ cuba menjadi hulubalang di papan kekunci semata-mata mahu menegakkan perasaan dan pilihan masing-masing dalam menentukan siapa selayaknya dijulang sebagai juara Gegar Vaganza tahun ini.

Sudah tertulis juara program itu menjadi milik Noryn Aziz. Namun, rata-rata peminat yang tidak berpuas hati mahukan Za­mani Slam sebagai juara.

Sekadar mahu berkongsi, kalau setakat meluahkan rasa kecewa kerana artis pujaan tidak menang hadiah utama itu perkara biasa. Namun, dalam status yang dikutip secara rawak, terdapat seorang peminat me­nyalahkan pihak penyiar iaitu Astro yang disifatkan tidak mementingkan pe­rasaan peminat saat membuat perhitungan siapa menjadi juara

Alasan peminat ber­kenaan, Zamani adalah pe­nyanyi legenda. Aura dia kuat. Dia buat salah, sakit atau bisu tetapi peminat sentiasa memeriahkan pertan­dingan dengan jerit pekik.

Perasaan? Tiba-tiba penulis tergelak saat membaca komen tersebut.

Terkenang juga, saat siaran televisyen di rumah yang tiba-tiba disekat kerana bil langganan yang tertunggak tidak dilangsaikan mengikut jadual. Ketika itu, wajarkah penulis yang selalu menulis dan menyiarkan artikel tentang program-program Astro dalam surat khabar tempat cari makan ini menyalahkan stesen berkenaan kerana tidak mengenang ‘budi’ pelanggan yang ba­nyak berjasa ini?

Lucu tetapi itulah reaksi peminat Zamani apabila penyanyi itu hanya pulang dengan hadiah tempat ketiga kerana tewas di tangan Noryn dan Dia Fadila menduduki tempat ketiga.

Ada juga peminat yang menulis: “Tak sukalah dia (Noryn) juara , buta agak­nya juri-juri bagi trofi Gegar Vaganza kepadanya.”

Kejam tetapi itulah sikap segelintir peminat tempatan setiap kali melemparkan kebencian kepada mana-mana pihak hanya kerana apa yang dimahukan tidak kesampaian.

Tidak kurang juga yang bergaduh sesama sendiri, menulis perkataan-perkataan seperti juara sendu, sepi, hampas, terjerit-jerit dan ajak kawan-kawan supaya memboikot program tersebut.

Hakikatnya, apa yang berlaku dalam Gegar Vaganza sekadar pertandingan hiburan. Pada penghujungnya, ia menguntungkan ste­sen televisyen dan pemenang sahaja. Peminat pula hanya kekal sebagai penyokong atau pembenci. Tahun depan ada program baharu, bergaduh lagi!