Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner S. Shanmugamoorthy Chinniah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan tentang penemuan objek tersebut yang menyerupai bom jenis mortar kira-kira pukul 10 pagi tadi oleh orang awam.

“Unit Pemusnah Bom kemudiannya sampai di lokasi pada pukul 11.40 pagi dan telah menganalisa serta mengangkat objek tersebut untuk dibawa ke lokasi selamat.

“Kita telah bawanya ke satu kawasan lapang berhampiran dengan tempat ia ditemui bagi memastikan prosedur pemusnahan dapat dijalankan dengan selamat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Shanmugamoorthy menambah, jarak antara lokasi objek itu ditemui dengan kawasan pemusnahannya adalah kira-kira 100 meter.

“Ia bagi memastikan keselamatan penghuni serta harta benda di kawasan berdekatan adalah selamat dan tidak terjejas.

“Objek tersebut telah berjaya dimusnahkan oleh unit berkenaan tidak lama kemudian,” ujarnya. - K! ONLINE