Jelas Naib Presiden PKR itu, beliau lebih tertarik untuk menjadi individu yang akan menasihati kepimpinan tertinggi negara dan memastikan mereka tidak tergelincir daripada melaksanakan amanah yang diberi rakyat.

“Apabila memegang kuasa, kita memikul amanah dan bukan pangkat, rakyat mahukan pemimpin terbaik dan saya tidak melihat saya merupakan figura terbaik dalam bab ini.

“Saya sentiasa mengatakan mahu menjadi individu di belakang tabir yang berfikiran reformis, rakyat menunggu pelaksanaan reformasi dan saya selesa menjadi pengingat, berjaga terus di garis batas perjuangan,” katanya.

Beliau yang juga Naib Presiden PKR berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Shamsul Iskandar Mohd. Akin pada Debat Naib Presiden Keadilan yang disiarkan secara langsung di Astro Awani malam tadi.

Turut menyertai program berkenaan ialah dua lagi calon Naib Presiden PKR iaitu bekas Ahli Parlimen Batu, Tian Chua dan Ketua Whip Pakatan Harapan yang juga Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul.

Empat kerusi Naib Presiden PKR akan direbut 12 individu termasuk empat penyandang jawatan berkenaan. Tiga tempat bagi jawatan sama akan dibuat secara lantikan.

Penyandang jawatan itu adalah Nurul Izzah, Samsul Iskandar, Dr. A Xavier Jeyakumar dan Tian Chua.

Terdahulu, Shamsul dalam soalannya kepada Nurul Izzah menanyakan kesediaan Puteri Reformasi itu untuk menggalas jawatan Perdana Menteri pada masa depan, memandangkan Malaysia telah pun memiliki Timbalan Perdana Menteri Wanita pertamanya yang juga merupakan ibu kepada Nurul Izzah sendiri iaitu Datuk Seri Dr. Wan Azizah Ismail.

Ketika jawapan Nurul Izzah diulas moderator, Kamarul Bahrin Haron yang berkata beliau tidak menyatakan secara jelas sama ada bersetuju akan cadangan menjadi Perdana Menteri dan tidak pula menolak, Nurul Izzah menyatakan beliau lebih berat untuk menyatakan tidak kepada cadangan tersebut.

“Lebih kepada tidak,” ujarnya ringkas. - K! ONLINE