Muhamad Nur Aizat yang merupakan seorang peguam berkata, beliau menawarkan diri untuk bertanding kerana berhasrat memberi nafas baharu kepada parti UMNO selepas menerima kekalahan besar pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.

Menurutnya, beliau menyasarkan untuk memperjuangkan suara hati orang muda di akar umbi serta menarik kembali minat golongan profesional muda di bawah umur 30 tahun.

 “Saya yakin dan percaya landskap politik UMNO akan berubah selepas menerima kekalahan besar dalam PRU14 lalu dan perubahan ini harus berlaku dengan perubahan kepimpinan yang boleh diterima rakyat,” katanya dalam satun kenyataan di sini hari ini.

Beliau yang merupakan anak tempatan Merbok pernah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Khas Pembahas Terbaik bagi Parlimen Belia Malaysia 2014-2016 dan diberi peluang menjawat jawatan Ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO Bahagian dan Exco Pemuda UMNO Kedah ketika berusia 21 tahun.

Muhamad Nur Aizat yang merupakan graduan Fakulti Undang-Undang, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam berkata, beliau berharap akan mendapat sokongan daripada perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO kerana secara tidak langsung membuktikan UMNO tidak ketandusan kepimpinan muda.

"Pada masa ini, UMNO perlu membuka peluang kepada pemimpin muda untuk menduduki kerusi Exco Pergerakan Pemuda UMNO Pusat dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian walaupun belum capai usia 30 tahun," katanya. K! ONLINE