Ketua Pegawai Operasinya, Muhammad Nurul Fadtan Yusof berkata, produk tersebut baru sahaja sebulan memasuki pasaran dan melalui proses dan prosedur ketat.

Katanya, ini berikutan semua produk keluaran syarikat tersebut terjamin dengan piawaian Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHA 1994), Good Manufacturing Practices (GMP) dan Sistem Pengurusan Berkualiti ISO 9001:2015.

"Kami kesal dengan tuduhan tidak bertanggungjawab itu dan meminta orang ramai membuat penelitian rasmi sebelum menularkan sesuatu isu yang tidak benar.

"Bagi membuktikan tiada bahan terlarang pada Nasty Salt, sampel produk itu akan dihantar selewatnya esok untuk ujian kimia," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Kosmo! Online difahamkan isu tersebut tular menerusi aplikasi WhatsApp sejak kelmarin didakwa dilakukan oleh seorang penjawat awam yang positif morfin hasil ujian air kencing oleh pihak berkuasa.

Penjawat awam itu dikatakan gagal ujian saringan tersebut sewaktu menyertai temuduga sebuah agensi dan menyalahkan cecair vape Nasty Salt yang digunakannya.

Jelas beliau, dua laporan polis telah dilakukan pada Ahad lalu di Ibu Pejabat Polis Tampin.

Sementara itu, peguam syarikat itu, Datuk Dr. Aswandi Mohamed Hashim menegaskan tindakan undang-undang akan diambil terhadap individu yang menularkan perkara tersebut.

"Sekalipun individu itu meminta maaf, pihak kami tidak akan menerimanya dan akan memfailkan saman sivil terhadap pelaku itu," katanya. - K! ONLINE