Menterinya, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, FRIM mempunyai kepakaran dan teknologi terkini bagi membantu dan melatih kakitangan PBT menjalankan pemeriksaan pokok dan penyelenggaraan berkala dengan lebih sistematik dan mengikut amalan 'best agriculture'.

"FRIM bersedia membantu untuk mengenal pasti risiko pokok yang berbahaya di kawasan masing-masing dengan tawaran khidmat nasihat, perundingan teknikal dan latihan.

"FRIM juga sedia bekerjasama dalam menganjurkan bengkel dan seminar dalam pengurusan pokok bandar," katanya pada sidang akhbar di Bangunan Parlimen hari ini.

Saranan itu dibuat berikutan kejadian pokok berusia lebih 130 tahun tumbang berhampiran Menara Berkembar Petronas KLCC, Jalan Ampang pagi semalam yang mencederakan dua orang. - Bernama