Penyanyi legenda kelahiran Kuala Pilah, Negeri Sembilan itu diundang untuk menghiburkan seramai 173 orang ahli Kelab Suara Kontemporari (KSK) pada majlis Makan Malam Horey Horey KSK-Kosmo! di Hotel Sunway Clio, malam tadi.

Hakikatnya, mengikut perjanjian, Hattan hanya perlu mendendangkan dua buah lagu pada majlis yang dianjurkan buat kali kedua itu. Bagaimanapun Hattan memi­lih untuk mendendangkan tiga buah lagu dan tidak meminta bayaran tambahan.

Beliau hanya dibayar token atau kata lainnya duit kopi oleh pihak akhbar kompak ini. Harganya? Terlalu murah berban­ding jika Hattan mahu berkira dengan pihak media.

Sifirnya lebih kurang begini, purata untuk setengah jam persembahan dengan dua atau tiga buah lagu, seseorang penyanyi biasanya dibayar sekitar RM10,000. Bagaimanapun, harga itu tidak berlaku untuk media yang selalu mendapat layanan istimewa daripada pelaku seni. 

Selain Hattan, penyanyi, deejay, hos dan pelakon Haiza juga memberi lampu hijau segera saat dilamar untuk mengemudi majlis makan malam ringkas kami.

Walhal, beliau selalunya tidak mengambil undangan mengacara majlis pada hari biasa kerana komitmen sebagai deejay untuk slot pagi di stesen radio Kool FM. “Sebab kawan-kawan jadi tidak boleh menolak,” kata Haiza tanpa bertanya berapakah nilai perkhidmatan yang akan dibayar kepadanya.

Bukan hanya Hattan atau Haiza yang tidak pernah berkira menolong pihak media. Penulis pernah berurusan dengan bintang terkenal yang hadir membuat persembahan untuk Kosmo! secara percuma! Malah, persembahan mereka bukan separuh hati. Kata mereka, jika tanpa media massa, mereka bukan siapa-siapa.

Banyak juga terutama bintang senior yang tidak pernah bertanya tentang bayaran untuk hadir atau melakukan persembahan bersama media massa. Sebaik dijemput, segera disambut okey. Jarang sekali perkara pertama yang ditanya; “Berapa bayaran?”
Ia sama sekali berbeza de­ngan kebanyakan pendatang baharu. 

Adakalanya, pengurus yang ‘lebih sudu daripada kuah’. Ia mengingatkan penulis kisah beberapa tahun dahulu sewaktu mahu melamar sebuah kugiran untuk ikut serta dalam konsert yang mahu kami anjurkan.

Dengan tanpa rasa bersalah pelawaan kami disambut dingin. Kata pengurusnya: “Kalau setakat mahu beri token RM2,000, lebih baik panggil budak baharu.” Angkuh juga bunyinya apabila dia memberitahu kugiran tersebut banyak undangan dan sangat popular pada waktu itu. Jadi setakat token, mereka tidak layan.

Hakikatnya, bukan media massa mahu mengambil ke­sempatan terhadap pelaku seni. Kami faham bahawa jika tidak dibayar, apa yang mereka akan makan? Bagaimana mereka mahu melunaskan bil bulan­an atau membayar kos busana yang telah dibeli juga harga alat solek yang dikenakan. Ini semua memerlukan kos dan tidak sepatutnya perkhidmatan mereka dinafikan oleh media massa.

Apa lagi jika mereka adalah pendatang baharu atau artis senior yang memperoleh sumber kewangan melalui undangan yang semakin sedikit.

Kami faham. Jadi, pelaku seni tidak boleh dipersalahkan. Cuma, apabila ada sebilangan pelaku seni seperti Hattan yang meletakkan silaturahim sebagai ukuran untuk sebuah undangan, bukannya duit, ia adalah satu balasan buat pengamal media massa berasa dihargai. Sekurang-kurangnya, tidaklah antara kami saling bergantungan untuk kepenti­ngan masing-masing, sebalik­nya kerana telah mengalir satu jalinan silaturahim yang baik.

Terima kasih buat pelaku seni yang namanya tidak disenaraikan di sini tetapi tidak pernah berkira dengan media massa.

Sekadar catatan juga, para wartawan sama sekali tidak mewah seperti kebanyakan pelaku seni kita. Walaupun dikeji, tetap wartawan setia memberi laporan sebaik mungkin, tetapi terdapat segelintir anak seni yang mudah lupa diri. Selalunya pelaku seni yang mudah lupa diri tidak lahir dalam keluarga yang susah atau bersusah payah membina reputasi menjadi seniman sejati. Jadi mereka tidak merasa susahnya untuk mendapatkan peluang berkarya.

Ironinya, ketika pelaku seni menjadi terkenal dan kaya-raya selepas mendapat publisiti media, para wartawan masih memperoleh gaji yang sama.