Rata-rata dalam kala­ngan kita apabila berada dalam media sosial keba­nyakan lebih cenderung untuk berada pada nilai paling rendah terutama apabila timbul sesuatu isu yang menyentuh perasaan.

Mengambil contoh isu yang berlaku antara seorang gadis dan lelaki autisme baru-baru ini, warga maya ternyata mempunyai pendirian masing-ma­sing dan ramai cuba memberikan pandangan tanpa mengira situasi di dalam kasut mangsa ataupun pihak yang didakwa.

Kita lebih cenderung memberikan buah fikiran menghentam tanpa mempedulikan soal perasan setiap pihak dan langsung tidak memikirkan jika ia menimpa diri kita sendiri.

Dalam kes ini, harus diingat kita bukan mangsa ataupun pihak didakwa dan sewajarnya kita perlu mendengar penjelasan semua pihak sebelum terus membuat keputusan menghentam tanpa mempedulikan perasaan pihak terlibat.

Paling mudah jangan kita terus menjadi pembuli siber dek kerana terkesan dengan situasi yang tidak menyenangkan itu, lantas secara tiba-tiba menghukum tanpa usul periksa.

Nilai diri perlu berada pada paras neutral sebelum kita membuat keputusan untuk memberikan buah fikiran pada ruangan komen kerana satu perkara penting yang selalu dilupakan media sosial itu sendiri bersifat garis lurus apabila berkaitan dengan usia.

Bukan kita seorang yang akan membaca komen itu, mungkin yang melihatnya ialah anak kita, adik-beradik, saudara-mara ataupun rakan.

Baik atau buruk komen itu, ia dengan jelas akan mencerminkan siapa diri kita yang sebenar dan jika ia sesuatu yang tidak enak dibaca adakah kita mahu insan rapat dengan kita membacanya.

Situasi sama juga terpakai kepada anak-anak kita sendiri dan jika mereka bertindak melontarkan kata-kata kesat adakah sebagai ibu bapa kita tidak akan berasa malu membacanya.

Pendek kata, waima apa jua perilaku kita dalam media sosial janganlah terlalu agresif mencari salah dan silap orang lain sedangkan perkara itu tidak pernah menimpa diri sendiri jauh sekali untuk tahu apa dirasai mereka yang terlibat.

Adalah lebih baik kita menyuarakan sesuatu lebih baik untuk kebaikan bersama di mana masyarakat yang membaca boleh mengambil iktibar dan sempadan supaya perkara yang sama tidak berulang.

Secara peribadi, jika kita sekadar berada dalam media sosial untuk mencari kesalahan orang lain dan meletak diri sebagai maksum daripada segala dosa lebih baik tutup sahaja akaun itu.

Ramai akan terkesan dengan komen kita dan jangan biarkan diri menjadi pembuli siber semata-mata mahu memuaskan hati untuk orang lain menyokong tindakan melulu itu yang akhirnya meninggalkan trauma pada orang mangsa.

Fikir sejenak jika ia berlaku pada ahli keluarga terdekat kita, apakah reaksi anda dan berapa nilai diri ketika itu.

Sudah pasti kita akan cenderung mempertahankan diri dan ahli keluarga kita dan ia merupakan perkara yang sama berlaku dalam kes di atas di mana masing-masing mahu menjelaskan situasi sebenar supaya ada dalam kalangan warga maya tampil memberikan sokongan dan dorongan.

Cuit sedikit perasaan sendiri dan tanya adakah sokongan dan dorongan kita itu adil buat semua pihak terlibat?

Justeru itu nilailah diri anda baik-baik ketika berada di dalam media sosial sebelum menerjah orang lain yang mungkin terkesan atau trauma dengan komen yang ditinggalkan.