Menteri Industri Utama, Teresa Kok berkata, imbangan dagangan bagi sektor tersebut pula merekodkan RM27.7 bilion bagi tempoh empat bulan pertama itu.

“Pendapatan eksport produk komoditi bagi tempoh tersebut adalah RM40.2 bilion atau 12.5 peratus daripada keseluruhan pendapatan eksport negara.

“Nilai eskport komoditi mengalami penurunan sebanyak 7.5 peratus berbanding RM43.5 bilion yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun lepas,” katanya ketika berucap pada sambutan Aidilfitri Kementerian Industri Utama di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Teresa berkata, penurunan nilai eksport produk agrikomoditi itu disebabkan faktor kejatuhan eksport produk utama seperti minyak sawit, oleokimia berasaskan sawit dan getah asli.

“Walaupun nilai eksport mengalami penurunan, kuantiti eksport produk-produk sawit telah meningkat sebanyak 4.6 peratus kepada 8.9 juta tan,” katanya.

Menurutnya, Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dan Dewan Perdagangan Bahan Makanan dan Produk Asli China (CFNA) telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) pada April lepas bagi pembelian minyak sawit tambahan sebanyak 1.9 juta tan dengan anggaran nilai RM4.56 bilion selama lima tahun bermula tahun ini hingga 2023.

“Malaysia juga menandatangani dokumen hasrat pembelian dengan syarikat China bagi mengeksport sebanyak 1.62 juta tan minyak sawit bernilai RM3.64 billion ke republik itu membabitkan empat syarikat Malaysia dan tiga syarikat China,” katanya.

Sementara itu, Teresa memberitahu, Kementerian Industri Utama telah mencapai prestasi 45.83 peratus bagi Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) berbanding 41.7 peratus yang ditetapkan sehingga bulan lepas. - K! ONLINE