Ramai yang yang kehabisan wang KWSP yang diterima apabila bersara dalam tempoh 5 hingga 7 tahun sahaja selepas persaraan dan perlu bekerja semula dalam usia tua untuk menampung kehidupan.

Ada banyak sebab mengapa duit KWSP boleh habis dengan pantas dan antaranya terma­suklah kerana ia tidak dilaburkan semula dan digunakan untuk pelbagai perkara lain seperti membesarkan rumah dan menampung perkahwinan anak.

Satu lagi kesilapan besar ialah pesara tidak mempunyai sumber tabungan persaraan lain seperti ASB atau tabungan lain selain KWSP.

Jadi bagaimana memastikan anda mempunyai tabungan persaraan selain KWSP untuk menikmati usia emas yang selesa?

Apa yang perlu dilakukan ketika bekerja?

i. Melabur dari gaji pertama

Persaraan memerlukan jenis pelaburan jangka panjang yang berisiko rendah atau sederhana. Melaburlah secara konsisten, katakan RM100 setiap bulan. Jika bermula lebih awal, anda mempunyai keanjalan untuk melabur mengikut kemampuan.

Antara pilihan terbaik untuk pelaburan jangka panjang ialah unit amanah se­perti ASB dan ASB2. Disiplin diri akan memboleh­kan anda membina tabungan persaraan yang kukuh.

ii. Ambil perlindungan risiko (insurans)

Ambil insurans/takaful untuk melin­dungi diri daripada perkara luar dugaan. Sekiranya sakit atau kehilangan upaya, insurans/takaful akan membiayai keperluan perubatan dan membayar pampasan yang setara.

Dengan cara ini, tabungan persaraan tidak perlu digunakan. Jika sudah berkeluarga, pastikan pasangan dan anak-anak turut dilindungi.

iii. Sumbangan majikan

Dalam kerjaya, selain gaji, faktor seperti manfaat perubatan dan caruman majikan dalam KWSP perlu diberi perhatian apabila memilih majikan. Peratusan caruman KWSP walau ha­nya satu peratus perbezaannya berban­ding majikan lain, akan memberi perbezaan besar dalam jumlah caruman KWSP apabila bersara kelak kerana tempoh pelaburan yang panjang.

iv. Melangsaikan semua pinjaman

Pinjaman rumah, kad kredit atau apa sahaja pinjaman lain sebaiknya sudah dilangsaikan sebelum anda bersara. Ini akan mengurangkan jumlah wang yang perlu dibelanjakan pada setiap bulan.

Apa yang perlu dilakukan selepas bersara

i. Laburkan semula wang KWSP

Wang caruman KWSP yang diterima mestilah dilaburkan semula untuk menjana pendapatan pasif yang berte­rusan. Antara destinasi pelaburan yang sesuai ialah unit amanah be­risiko rendah seperti ASB. Ketika di usia emas, anda memerlukan pelaburan yang berisiko rendah untuk memanjangkan talian hayatnya.

Pelaburan RM50,000 dalam instrumen pelaburan dengan pulangan purata tahunan 7 peratus, mampu menjana pendapatan pasif tahunan sebanyak RM3,500 atau kira-kira RM290 sebulan.

ii. Elakkan berbelanja untuk perkara tidak perlu

Sebaiknya elakkan daripada membesarkan rumah, membiayai perkahwinan anak atau menceburi bidang perniagaan de­ngan wang KWSP yang di­terima.

Perkara berkenaan merupakan antara sebab utama pesara kehabisan wang de­ngan pantas. Malah ada pesara yang kehila­ngan semua wang KWSP ke­rana terlibat dalam perniagaan sedang­kan mereka tiada pe­nga­laman dan kemahiran.

iii. Pendapatan tambahan

Kemahiran lembut (soft skill) dalam bidang penulisan, penterjemahan, seni dan sebagainya boleh menjadi sumber pendapatan tambahan. Mungkin sebelum ini anda tidak berkesempatan mengembangkan bakat anda, waktu persaraan adalah waktu terbaik untuk memulakannya.