Presidennya, Musa Awang berkata, ini termasuk penglibatan bekas pegawai syarie yang telah pencen atau bersara dari agensi berkenaan dengan sindiket nikah ekspres. 

"Kemungkinan itu ada (orang dalam terbabit dalam nikah ekspres). Biasanya, yang terlibat ini pegawai syarie yang telah pencen atau bersara. 

"Jika kita lihat dalam tawaran iklan nikah sindiket pun mereka ada meletakkan perkhidmatan mereka (nikah ekspres) itu turut mendapat kerjasama atau bantuan peguam syarie, ada panel dan pertolongan dari hakim syarie. 

"Ada juga mereka (ejen) sengaja meletakkannya di dalam iklan itu bagi menarik minat pelanggan," katanya di sini hari ini. 

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel di Wacana Sinar Nikah Ekspres: Bukan Hanya Kejar Nafsu selain disertai dua panel lain iaitu Pengarah Institut Islam Hadhari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Aziah Mohd Awal dan Pensyarah Pusat Fiqh Kontemporari dan Pematuhan Syariah UKM, Prof. Madya Dr. Zuliza Mohd Kusrin.

Sementara itu, Aziah berkata, nikah expres berlaku apabila pasangan yang ingin berkahwin kali pertama atau berpoligami tidak mahu melalui proses undang-undang ditetapkan dan memakan masa yang agak lama.

Katanya, nikah ekspres hanya dilakukan di tempat tertentu terutama di luar negara dimana pernikahan berkenaan tidak memerlukan dokumen yang banyak serta melalui prosedur yang ketat.

"Prosedur untuk berkahwin di Malaysia, kena isi borang dahulu, hantar ke pejabat agama, kemudian pejabat agama lakukan siasatan, wali dan sebagainya. Kalau perlu wali hakim perlu dapat kebenaran dan lain-lain lagi.

"Jika hendak berpoligami pula, perlu dapatkan kebenaran mahkamah syariah dan proses itu mengambil masa,” katanya. - K! ONLINE