Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, pelantikan itu hasil keputusan Lembaga Pengarah Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang bersidang pada 30 Ogos bagi membincangkan peletakan jawatan Tan Sri Lodin Wok Kamarudin serta cadangan pengganti beliau.

"Saya telah bersetuju dan menetapkan Tan Sri Lodin bin Wok Kamarudin meletakkan jawatan Ketua Eksekutif LTAT dan sebagai Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan-Perbadanan LTAT berkuat kuasa mulai 7 September 2018.

"Saya juga bersetuju di atas syor Lembaga Pengarah LTAT untuk melantik Puan Nik Amlizan binti Mohamed menggantikan Tan Sri Lodin sebagai Ketua Eksekutif LTAT dan Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan-Perbadanan LTAT berkuat kuasa pada 7 September 2018," katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Sebelum ini, Nik Amlizan memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Pelaburan (CIO) Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) sejak September 2014.

Beliau merupakan ahli lembaga Prima Ekuiti (United Kingdom) Ltd, anak syarikat milik penuh KWAP, dan ahli jawatankuasa pelaburan Valuecap Sdn Bhd, i-VCAP Management Sdn Bhd dan Metropolitan Uxbridge Ltd di United Kingdom. - Bernama