Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, kebanyakan PATI yang ditahan didapati sedang bersiar-siar di sekitar kawasan KLCC dan Bukit Bintang.

"Seramai 136 pegawai penguat kuasa Imigresen dan DBKL terbabit dalam operasi bersempena musim perayaan yang bermula kira-kira pukul 3 petang itu.

"Kesemua 123 PATI yang ditahan terdiri daripada 68 warga Bangladesh, 36 warga Indonesia, tujuh warga Myanmar, sembilan warga Nepal dan masing-masing seorang warga Pakistan, Yemen juga India," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Khairul Dzaimee, seramai 536 individu telah diperiksa dalam operasi tersebut dan daripada jumlah itu, seramai 123 PATI telah ditahan yang berusia di antara 25 tahun hingga 45 tahun.

"Antara kesalahan yang dikesan adalah tiada dokumen pengenalan diri, salah guna pas, tinggal lebih masa, memiliki kad yang tidak diiktiraf serta lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen.

"Kesemua PATI yang ditahan kini ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen untuk siasatan dan tindakan lanjut," ujar beliau.

Mengulas lanjut, Khairul Dzaimee berkata, sejak 1 hingga 31 Januari lalu, sebanyak 1,353 operasi penguatkuasaan telah dijalankan oleh Jabatan Imigresen.

"Dalam tempoh tersebut seramai 16,651 orang telah diperiksa dan kami telah menahan seramai 5,091 orang PATI.

"Turut ditahan adalah seramai 83 majikan berikutan didapati menggaji dan melindungi PATI," katanya. - K! ONLINE