Koordinator JPKK, R. Mohanarani berkata, kesemua pekerja di kira-kira 10,000 buah sekolah di seluruh negara terpaksa diberhentikan tanpa notis selepas kontraktor baharu mengambil alih kedua-dua bidang tugasan itu.

Jelasnya, sehubungan dengan itu, JPKK memohon agar KPM turut campur tangan dalam usaha mencari jalan penyelesaian mengenai perkara tersebut berikutan pekerja kontrak itu hilang punca pendapatan sejak lebih sebulan lalu.

“Selepas kontraktor baharu mengambil alih, jumlah pekerja telah dikurangkan atas alasan KPM telah mengurangkan jumlah peruntukan. Jadi, kebanyakan daripada mereka dibuang tanpa sebarang notis.

“Bagi pengawal keselamatan pula, kontraktor menetapkan tugasan sebanyak tiga shif berbanding dua shif sebelum ini. Selain dikurangkan masa bekerja, ia memberi kesan kepada pendapatan pekerja apabila mereka tidak lagi boleh menuntut perbelanjaan lebih masa,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita sebelum mengadakan perjumpaan dengan Pengarah Bahagian Perolehan dan Pengurusan Aset KPM di sini hari ini.

Dalam perjumpaan tersebut, seramai 12 orang bekas pekerja pembersihan dan pengawal keselamatan sekolah hadir untuk mengadu nasib kepada KPM.

Terdahulu, KPM dalam kenyataannya semalam memaklumkan bahawa kementerian tidak terlibat dalam soal pengambilan dan penamatan pekerja kontrak perkhidmatan kawalan keselamatan dan kebersihan sekolah.

Menurut kenyataan itu, penamatan atau pengambilan pekerja kontrak dibuat sepenuhnya syarikat yang mendapat kontrak untuk menyediakan perkhidmatan sokongan selain jumlah tenaga kerja juga bergantung kepada syarikat yang dilantik. - K! ONLINE