Menurut kenyataan ringkas daripada DBKK, selain dua bekas untuk menempatkan sampah sarap terbabit pihaknya juga terpaksa menyediakan tiga buah lori seberat 3.5 tan dan 20 anggota pembersihan di dua lokasi terbabit. 

"Hasil proses pembersihan yang dijalankan dalam tempoh 14 hari pihak DBKK mengumpul sebanyak 402.5 tan timbunan sampah sarap di sekitar Pantai Tanjung Aru dan Pantai Tanjung Lipat.

"Antara bahan yang dikutip ialah botol plastik, ranting dan batang kayu besar di sepanjang pesisir pantai berkenaan," katanya di sini baru-baru ini.

Sehubungan itu, terkesan dengan situasi timbunan sampah sarap di dua pantai berkenaan dan enggan membiarkan isu tersebut berleluasa sehingga boleh mencemarkan imej pelancongan di Sabah, sukarelawan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Trash Hero Borneo tampil dengan beberapa solusi.

Pengasas bersama Trash Hero Borneo, Monica Chin berkata, salah satu penyelesaian terbaik adalah dengan mewujudkan penguatkuasaan tindakan undang-undang terhadap individu yang tidak bertanggungjawab.

"Kami berharap agar pihak kerajaan dan agensi berkaitan mengenakan tindakan kepada mereka yang membuang sampah khususnya di pantai dan laut.

"Perkara ini perlu ditangani dengan segera kerana ia akan menjejaskan ekosistem di laut termasuk mencemarkan imej pelancongan negeri Sabah," ujarnya pada sidang akhbar di sini hari ini. - K! ONLINE