Kuasa Usaha Nepal di Malaysia, Kumar Raj Kharel, berkata perjanjian itu akan memberi panduan lanjut yang lebih jelas dalam mengatur pengambilan, penggajian dan penghantaran pulang pekerja Nepal.

"Kami berharap ia (MoU) boleh menjadi satu alat bagi melindungi hak-hak pekerja kami," kata beliau kepada Bernama dalam satu temu bual di sini pada Khamis.

Pusingan pertama perbincangan berhubung kerjasama buruh antara Nepal dan Malaysia telah berlangsung di Kathmandu pada 20 dan 21 Feb 2017. 

Kumar Raj berkata MoU tersebut tidak dipersetujui ketika itu kerana Malaysia mempunyai keraguan termasuk berkaitan kos penghantaran pulang, siapa yang patut bertanggungjawab membiayai tiket penerbangan, bayaran visa dan caj perkhidmatan.

"Kami (Nepal) telah dimaklumkan oleh para pegawai kementerian bahawa terdapat kemajuan di pihak Malaysia dan sanggup menandatangani MoU serta memuktamadkannya dengan menyelesaikan perbezaan. Para pegawai kami sudah bersedia untuk datang ke sini sebaik sahaja mendapat undangan daripada kerajaan Malaysia bagi mengadakan rundingan serta menandatangani perjanjian itu.

"Malaysia masih menjadi satu destinasi popular pada pandangan sejumlah 500,000 pekerja Nepal dalam kalangan negara berbilang kaum, budaya dan etnik serta mempunyai iklim yang lebih baik berbanding negara-negara Timur Tengah," katanya.

Pada Mei, terdapat laporan bahawa penghantaran pekerja negara itu ke Malaysia telah dihentikan buat sementara waktu oleh kerajaan Nepal kerana pekerja terbabit telah dikenakan bayaran terlalu tinggi menerusi perkhidmatan berkaitan oleh syarikat swasta yang dilantik oleh kerajaan Malaysia sebelum ini.

Susulan itu, kerajaan Nepal telah mengambil tindakan keras ke atas pelbagai institusi yang mengutip bayaran tambahan daripada pekerja migran kerana ia melanggar polisi Nepal. 

Penghantaran pekerja Nepal ke Malaysia telah ditangguh kerana syarikat-syarikat Nepal yang bergabung dengan pihak di Malaysia sedang disiasat dan pekerja tidak boleh memproses visa mereka melalui syarikat terbabit.

''Nasib sejumlah 15,000 hingga 20,000 pekerja masih terumbang-ambing meskipun mendapat kelulusan imigresen Malaysia kerana mereka tidak dapat memproses visa melalui kesemua syarikat terbabit.''

Justeru, Kumar Raj berharap kerajaan Malaysia menerusi kedutaannya di Kathmandu akan mengeluarkan visa secara langsung untuk kumpulan pekerja yang terjejas.

"Bukanlah niat kami untuk menghentikan penghantaran pekerja. Kami ingin menghantar pekerja ke negara ini namun dengan perjanjian yang lebih baik agar mereka tidak dieksploitasi.

"Kesemua syarikat terbabit beroperasi dengan cara yang mencurigakan dan telah melanggar beberapa peraturan domestik kami termasuk peraturan untuk menghantar pulang wang, menukar mata wang ke negara asing, caj bayaran dan perkhidmatan yang tidak didorong oleh pasaran.

"Ini hanya bersifat sementara kerana kami sedang membersihkan syarikat terbabit," katanya.

Di bawah kerajaan Malaysia sebelum ini, pekerja migran Nepal dikehendaki memohon visa kerja melalui sebuah syarikat gabungan yang berpangkalan di Kathmandu iaitu Malaysia VLN Nepal.

Proses itu menjadi rumit kerana rakyat Nepal perlu melalui pemeriksaan keselamatan dan kesihatan yang dijalankan oleh pelbagai syarikat swasta dengan bayaran tinggi sebagai sebahagian daripada keperluan visa.

Ini termasuk pendaftaran secara online Sistem Pengurusan Migran (MiGRAMS), Pusat Sehenti (OSC) bagi mendapatkan borang visa, pasport dan penghantarannya ke kedutaan, serta Kelulusan Keselamatan Imigresen (ISC).

Proses pengambilan telah diuruskan di bawah satu sistem yang dibangunkan oleh kerajaan Malaysia dikenali sebagai Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS). 

Sistem itu telah dibangunkan oleh Bestinet Sdn Bhd. Bagaimanapun, Bestinet telah menafikan dakwaan pengubahan wang haram.

Pada 31 Julai, Pengarah Bestinet Sdn Bhd Datuk Rathakrishnan Vellaisamy berkata syarikat itu hanya mengendali bahagian saringan kesihatan dalam proses pengambilan pekerja asing dan tidak terlibat dalam menyediakan perkhidmatan ISC, VLN (visa) atau OSC.

Kumar Raj berkata kerajaan Nepal telah meminta kerajaan Malaysia mengurangkan kos visa, iaitu antara 18,000 dan 19,000 rupee Nepal (kira-kira RM700), kerana hanya RM25 akan diperoleh kerajaan Malaysia manakala bakinya masuk ke kocek syarikat swasta terbabit.

"Sistem sedia ada dengan bayaran yang amat tinggi turut menyaksikan pekerja asing terpaksa berdepan dengan kesemua syarikat ini, sekali gus mewujudkan satu mekanisme yang rumit. Permintaan kami pada asasnya ialah mengurangkan kos dan untuk menyelaras, mengkaji atau membatalkan penglibatan syarikat swasta terbabit.

''Kami mahukan satu proses pengambilan yang mudah, telus dan kos efektif terutamanya dalam aspek visa. Ketika ini kami memfokus kepada keputusan yang diambil oleh kerajaan Nepal untuk menyiasat kesemua syarikat swasta terbabit.

''Kerajaan Nepal telah memulakan siasatan terhadap kesemua syarikat. Sebaik sahaja kos visa dikurangkan, urusan sedia ada yang membabitkan kesemua syarikat ini akan dikaji semula,'' katanya. - Bernama