Jara Bibi Sultan Mohammad, 70, berkata, walaupun anak lelakinya seorang yang tegas tetapi dia mempunyai sifat berperikemanusiaan.

"Dia tegas, tegas dia hanya untuk mendidik tapi tidaklah sampai pukul patah riuk macam dalam berita disiarkan.

"Kalau merotan untuk mengajar memang ada, dia (bapa mangsa) seorang askar jadi dia memang  tegas tapi tidaklah sampai tergamak mendera anaknya sehingga meninggal," katanya ketika ditemui Bernama di rumahnya di sini semalam.

Beliau berkata, sebelum meninggal dunia cucunya itu menunjukkan perubahan iaitu berkali-kali meminta maaf.

"Menantu mak cik (ibu tiri mangsa) ada bagi tahu yang dua tiga hari kebelakangan ni mangsa tak lalu makan, banyak berdiam diri dan banyak kali minta maaf tanpa sebab," katanya.

Menurut Jara Bibi, beliau difahamkan sebelum Nur Aina disahkan meninggal dunia, kanak-kanak itu tidur selepas pulang dari mengaji Al-Quran.

Jenazah mangsa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Kepayang di sini kira-kira pukul 9 malam tadi.

Nur Aina Nabihah, 9, meninggal dunia ketika dalam perjalanan mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) selepas dilaporkan tidak sedarkan diri di kediaman keluarganya di Lukut, Port Dickson pada 12.30 tengah malam.

Pemeriksaan awal ke atas badan kanak-kanak itu mendapati terdapat kesan lebam dan bedah siasat mendapati mangsa mengalami kecederaan parah pada organ dalaman seperti cedera buah pinggang, usus koyak serta tulang rusuk kiri dan kanan patah dipercayai dipukul dengan objek tumpul.

Bapa mangsa ditahan selepas selesai bedah siasat di HTJS dan polis akan mendapatkan perintah tahanan reman di mahkamah esok, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. - Bernama