Dalam kejadian pada pukul 12.30 tengahari itu, 12 kru bot termasuk tekong yang berusia antara 23 hingga 53 tahun ditahan bersama sebuah bot nelayan di lokasi terbabit.

Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Boon Chin Chau berkata, pasukan APMM yang sedang menjalankan Op Pluto Timur segera dikerahkan ke tempat kejadian selepas Pusat Operasi Maritim Kudat menerima maklumat berkaitan kehadiran bot nelayan asing.

"Hasil pemeriksaan mendapati, kesemua suspek memiliki dokumen pengenalan diri termasuk lesen bot dan lesen perikanan yang meragukan.

"Pada masa sama, mereka menggunakan bot nelayan Vietnam tetapi bernombor pendaftaran nelayan tempatan dan mengibarkan bendera Malaysia disyaki cuba mengelirukan pihak berkuasa," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Chin Chau, kesemua awak-awak dan tekong serta bot nelayan berkenaan kemudiannya  ditahan dan diiring ke Jeti Awam Kudat dekat sini untuk tindakam lanjut.

Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 atas kesalahan memiliki dokumen yang meragukan.

“Sehubungan itu, bagi membanteras dan mengurangkan perlanggaran undang-undang di Zon Maritim Malaysia pihak APMM akan meningkatkan rondaan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa," jelasnya. - K! ONLINE