Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, pihaknya telah mengambil maklum mengenai dakwaan nelayan-nelayan di kawasan Muar itu.

"Itu saya perlu lihat dengan lebih teliti dan lihat laporan polis. Kalau betul, dia diugut penguat kuasa, saya nasihatkan nelayan buat laporan polis, lepas tu barulah kita boleh bertindak," katanya pada pemberita selepas melawat Tuzra Marketing, di sini hari ini.

Salahuddin berkata, pihaknya tidak boleh membuat sebarang tindakan berdasarkan "cakap-cakap orang" sebaliknya memerlukan laporan yang lengkap.

"Bagaimanapun, perkara itu telah dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan saya ambil maklum," kata beliau.

Semalam, Syed Saddiq dilaporkan berkata, nelayan di kawasan Muar diminta menyalurkan maklumat serta bukti kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai dakwaan mereka diugut dan sengaja ditahan pihak berkuasa laut setelah mengemukakan bukti mengenai pencerobohan bot pukat tunda haram. - Bernama