Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan berkata dalam kejadian kira-kira 3.30 petang itu, mangsa, Mohd Fadil Abdullah, 27, cedera di bahagian tulang rahang, pergelangan tangan kanan dan hancur telapak tangan kiri.

"Mangsa sebelum itu keluar dari rumah menuju ke sungai dengan membawa bom buatan sendiri.

'Ketika tiba di sungai, mangsa melemparkan bom berkenaan ke dalam sungai tetapi tidak meletup, menyebabkan mangsa menghampiri bom dan ketika itu  bom meletup secara tiba-tiba," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Perasmian Hari Bersama Pelanggan dan Pertandingan Dikir Peringkat Kelantan sempena Perayaan Jubli Perak Ekspres Mutiara di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Eksekutif Konsortium Ekspres Mutiara (E-Mutiara) Che Ibrahim Che Ismail.

Beliau berkata mangsa yang kini koma akibat kecederaan yang dialaminya kini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) Kota Bharu.

Katanya setakat ini polis Kelantan masih belum menerima sebarang laporan daripada anggota keluarga mangsa namun kertas siasatan tetap dibuka di bawah Akta Bahan Letupan 1957.

"Siasatan lanjut kes itu akan dilakukan sebaik mangsa sedar daripada koma. Setakat ini keadaannya stabil walaupun kesan kecederaan agak parah," katanya. - Bernama