Rata-rata nelayan mendakwa hasil laut di perairan negeri ini semakin berkurangan selain pukat mereka rosak akibat aktiviti bot pukat tunda dan siput retak seribu tersebut.

Nelayan, Abu Bakar Saad, 63, berkata, masalah pencerobohan bot dipercayai dari Kedah dan Thailand ke kawasan penangkapan ikan nelayan pantai di Zon A itu semakin serius sejak kebelakangan ini.

"Mereka masuk ke kawasan larangan yang merupakan zon penangkapan ikan bagi nelayan pantai pada waktu malam hingga awal pagi.

"Aktiviti pukat tunda dan sangkar besi yang digunakan dua jenis bot tersebut mengakibatkan pukat jaring nelayan pantai bergulung dan rosak akibat terkena siput duri," katanya ketika ditemui di pelantar nelayan Kuala Sungai Baru di sini hari ini.

Seorang lagi nelayan, Kasa Derani, 61, berkata, rata-rata nelayan pantai di situ hanya memperoleh pendapatan antara RM500 hingga RM600 sebulan berbanding sebelum ini kira-kira RM700.

"Kadang-kadang kami pulang dengan tangan kosong apabila mendapati pukat rosak akibat terkena siput berduri yang berselerak disebabkan aktiviti pukat tunda buaya dan sangkar besi bot siput," jelasnya.

Nelayan, Irwan Shah Abdul Jalil, 40, berharap supaya anggota Maritim Malaysia (APMM) melakukan operasi penguatkuasan dengan lebih kerap dan tegas terhadap aktiviti pencerobohan zon penangkapan ikan. - K! ONLINE