Dalam kejadian pada pukul 9.30 malam itu, Mohd. Firdaus Dollah, 21, dikatakan terjatuh dari bot dinaikinya bersama tiga rakan nelayan lain pada kedudukan kira-kira dua batu nautika dari perairan Kuala Paka dekat sini.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Paka, Sufian Muhamad berkata, mayat Mohd. Firdaus telah ditemui terapung oleh pasukan mencari dan menyelamat lebih 14 jam kemudian pada pukul 11.40 pagi hari ini.

"Sewaktu kejadian, mangsa dikatakan telah terjatuh dari bot nelayannya sewaktu dalam perjalanan pulang ke Jeti Kuala Dungun di sini.

"Insiden itu kemudiannya telah dimaklumkan kepada salah seorang ahli keluarga lelaki berkenaan setelah usaha tiga lagi rakan nelayan yang turut berada berada di dalam bot itu untuk mencarinya gagal," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Sufian berkata, mayat mangsa ditemui terapung berhampiran kawasan Pelabuhan Kerteh, Kemaman pada pukul 11.40 pagi hari ini sebelum dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun di sini. - K! ONLINE