Menceritakan detik cemas itu, Aznin Ishak, 61, berkata dia bersama-sama Ahmad Zabidi Abd Rashid, 67, menyedari kebakaran itu selepas mendapati asap memenuhi rumah mereka kira-kira 2 pagi.

Katanya dia terus mengejutkan anak dan menantu yang berada di bilik bersebelahan sebelum mengambil keputusan untuk terjun.  

"Ketika kami berada di atas 'awning' (sengkuap) rumah anak sulung kami itu, menantu membantu saya turun bagaimanapun suami tergelincir dan terjatuh sebelum disahkan meninggal dunia.

"Anak dan menantu serta dua cucu iaitu lelaki berusia dua tahun dan bayi perempuan berusia sebulan pula dibantu oleh jiran untuk keluar dari pintu belakang ," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Sementara itu, menantu mereka, Nor Mazmin Che' Ad, 38, yang tinggal di rumah bersebelahan berkata ketika kejadian itu, api sedang marak dan mendengar bunyi kaca pecah serta asap tebal.

"Saya keluar dari rumah dan melihat ibu mentua saya berada di atas awning rumah sebelum membantunya untuk turun," katanya.

Katanya jenazah bapa mentuanya dibawa ke Hospital Selayang untuk bedah siasat.

Dalam pada itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Mohd Rizal Buang, berkata kebakaran pada 2 pagi itu dipercayai bermula dari bahagian bawah rumah itu, menyebabkan ia terbakar 70 peratus.

"Punca kejadian masih dalam siasatan," katanya. - Bernama