Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S. Veerapan berkata, sebanyak 12 kes itu telah dijatuhi hukuman oleh mahkamah.

"Sebanyak enam kes dalam peringkat untuk sebutan kes dan satu kes masih dalam siasatan," katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Veerapan berkata, sebanyak 11 kes terbabit melibatkan pelepasan effluen perindustrian melebihi had ditetapkan dan lima kes tidak mematuhi syarat-syarat lesen kilang.

Kata beliau, satu kes melibatkan kesalahan melanggar syarat-syarat notis yang dikeluarkan oleh JAS Negeri Sembilan dan satu lagi kes adalah pembakaran terbuka.

Kata beliau, jumlah denda yang dikutip hasil penguatkuasaan JAS Negeri Sembilan sejak Januari lalu pula sebanyak RM142,000.

"JAS Negeri Sembilan akan terus meningkatkan aktiviti penguatkuasaan bagi memastikan alam sekitar sentiasa dipelihara untuk generasi masa kini dan akan datang," katanya. - K! ONLINE