Persetujuan itu dimeterai menerusi majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara Sains dengan kerajaan negeri Melaka menerusi Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) yang berlangsung di Pejabat Ketua Menteri Melaka di Seri Negeri sebentar tadi.

MoU itu ditandatangani oleh Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari; Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun; Ketua Pegawai Eksekutif SAMB, Datuk Mohd. Khalid Nasir dan Pengarah Sains, Wan Rasdi Wan Ismail mewakili agensi terlibat.

Menerusi perjanjian itu, Sains akan membekalkan sejumlah 12 juta liter air bersih tambahan sehari pada kadar RM1.40 untuk setiap meter padu.

Adly berkata, bekalan air berkenaan diperlukan untuk edaran kawasan Pulau Sebang, Jambatan Lubok China, Kuala Linggi, Kendong, Titian Bintangor, Pondoi, Batang Melaka, Sungai Rambai, Chohong, Tangkak dan Simpang Bekoh.

“Perjanjian ini adalah antara inisiatif yang diambil kerajaan negeri untuk memastikan keperluan bekalan air di Melaka mencukupi selain mengatasi isu-isu berkaitan kemarau panjang.

“Saya bagi pihak kerajaan negeri berterima kasih kepada kerajaan Negeri Sembilan yang membantu kita bagi memastikan kesejahteraan dan keselesaan rakyat terjamin,” katanya pada sidang akhbar majlis tersebut hari ini.

Sementara itu, Aminuddin turut menyambut baik usaha antara kedua-dua negeri dan berharap kerjasama itu juga dapat menyelesaikan isu persempadanan Kuala Linggi bagi tujuan pembangunan.

“Apa yang penting apabila ada persempadanan nanti ia akan memudahkan pembangunan di kawasan sempadan,” katanya. - K! ONLINE