Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Madius Tangau berkata dalam tempoh berkenaan, negara diramal menerima empat hingga lima kali episod hujan lebat yang boleh membawa kepada banjir besar.

"Tinjauan cuaca di Semenanjung, iaitu Kelantan dan Terengganu dijangka menerima curahan hujan sekitar 700 milimeter pada November dan Disember, manakala Pahang dan timur Johor dijangka menerima hujan sebanyak 400 mm pada Disember dan Januari depan. 

"Keadaan ini boleh mengakibatkan banjir terutama di kawasan lembah sungai dan kawasan rendah," katanya ketika sesi soal jawab pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Dr Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) yang ingin tahu sama ada Monsun Timur Laut dilihat sebagai fenomena yang berupaya mengakibatkan kejadian banjir besar dan bencana lain serta persediaan kementerian dalam mengawasi fenomena itu. - Bernama