Perantau dalam Kamus Dewan Edisi Keempat bermaksud orang yang pergi ke negeri lain kerana mencari kehidupan baharu atau atas pelbagai faktor lain.

Dalam istilah umum, perantau juga sering dikaitkan dengan kumpulan orang asing yang tinggal di sesebuah negara.

Di Malaysia, kumpulan perantau yang majoritinya berasal dari Sabah, Sarawak dan Kelantan serta beberapa negeri lain sebenarnya banyak bermastautin di sekitar Lembah Klang.

Kehadiran mereka di sesuatu tempat itu didorong oleh beberapa faktor terutama sosioekonomi iaitu untuk bekerja demi mencari rezeki.

Ironinya, setiap kali datangnya bulan Ramadan atau pe­rayaan-perayaan utama yang lain, antara perkara pokok yang berlegar dalam fikiran perantau adalah keinginan untuk pulang ke kampung.

Ibarat satu tradisi, kepulangan seseorang perantau itu ke kampung halamannya merupakan satu tuntutan nurani yang perlu dilakukan.

Selepas sekian lama meninggalkan keluarga dan kampung halaman, musim hari raya adalah saat yang paling dinantikan untuk berkumpul semula bersama keluarga.

Bagaimanapun, tidak semua daripada kumpulan itu akan melalui kehidupan indah sebagai perantau yang membolehkan mereka pulang ke kampung.

Mengambil kira sebuah keluarga dari Sabah terdiri daripada sepasang suami isteri dan dua anak, sememangnya perkara pertama yang dipertimbangkan untuk pulang ke kampung adalah kos.

Kos ini juga bukan hanya diukur berapa banyak barang yang ingin dibawa pulang, tetapi lebih daripada itu adalah berapa banyak kos yang dibelanjakan untuk pulang ke kampung.

Seorang rakan sekampung yang telah bermastautin hampir 20 tahun di Klang, Selangor ada berkongsi keperitan yang dialaminya bersama isteri dan dua anaknya setiap kali tibanya Hari Lebaran. Dengan hanya bergaji purata RM2,500 sebulan sebagai seorang operator kilang, sahabat itu mengakui terpaksa menabung selama setahun hanya untuk membeli tiket pener­bangan.

Katanya, mengambil kira harga tiket bagi musim perayaan, dia terpaksa membelanjakan hampir RM5,000 hanya untuk kos penerbangan pergi dan balik dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu.

Mungkin ia sesuatu yang biasa bagi golongan berkemam­puan, tetapi tidak bagi sahabat itu. Hal sama juga mungkin dirasai oleh kumpulan perantau yang tidak memerlukan tiket penerbangan untuk pulang ke kampung, tetapi perlu menempuh perjalanan beratus-ratus kilo­meter yang biasanya memakan masa sehingga 12 jam.

Selain mengambil kira kos minyak dan tol, aspek masa dan kepenatan juga sering menjadi keperitan yang terpaksa ditelan demi sebuah kegembiraan.

Hakikatnya, kehadiran Aidilfitri bukanlah untuk membebankan mana-mana pihak, tetapi hadirnya Aidilfitri adalah untuk memberi kegembiraan kepada setiap pengorbanan yang kita lakukan.

Buat semua perantau, janganlah pernah mengalah atas sebab kesusahan yang dilalui.

Ilmuan Islam, Imam as-Syafie dalam sebuah puisinya ada menyentuh mengenai kehidupan orang merantau:

‘Merantaulah, orang berilmu dan beradab tidak diam berehat di kampung halaman.

‘Tinggalkan negerimu dan hidup di negeri asing (di negeri orang).

‘Merantaulah. Kau akan dapatkan pengganti daripada kerabat dan kawan.

‘Ber­lelah-lelahlah, manisnya hidup terasa setelah lelah berjuang.’