Beliau yang turun padang di Kampung Bukit Chatak di sini menerusi program Jom Bantu Rakyat bersimpati dengan nasib keluarga Mohammad Amiruddin Ali, 38, yang terpaksa bergelap setelah bekalan elektrik mereka dipotong kerana tidak mampu membayar bil tertunggak sejak setahun lalu.

"Saya difahamkan Mohammad Amiruddin yang merupakan seorang mekanik tidak dapat bekerja secara normal kerana menghidap penyakit Eczema kronik dan keluarga itu banyak bergantung harap kerapa pendapatan isterinya, Rohaya Husin, 35, sebagai pembantu kantin sebanyak RM300 sebulan.

"Selain membantu menyambung semula bekalan elektrik, rumah yang dihuni pasangan suami isteri bersama dua anak mereka berusia sembilan dan 10 tahun ini juga akan diperbaiki segera," katanya kepada pemberita selepas melawat rumah tersebut di Kampung Bukit Chatak di sini hari ini.

Program Jom Bantu Rakyat itu turut disertai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pejabat Kesihatan Daerah Dungun dan Pergerakan Wanita UMNO Dungun.

Din memberitahu proses pemasangan bekalan elektrik dan pembaikan rumah Mohammad Amiruddin itu dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh dua bulan.

Jelasnya, keluarga tersebut juga telah dipertimbangkan untuk menerima bantuan bulanan sebanyak RM200 daripada JKM sekiranya melepasi garis panduan ditetapkan. - K! ONLINE