Penantian mereka untuk bergelar warganegara tercapai biarpun pada usia warga emas.

Mengikut Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin penganugerahan status warganegara itu adalah salah satu daripada manifesto Pakatan Harapan (PH). Rata-rata yang ditemui wartawan selepas majlis penye­rahan sijil kerakyatan di Putrajaya tersenyum lebar sambil mengucapkan terima kasih ke­pada kerajaan Malaysia.

Bagaimana pula nasib bagi 55,000 pemohon lain. Difahamkan daripada jumlah tersebut angka tersebut turut melibatkan ramai pemohon bawah 18 tahun.

Bermacam alasan bagi mereka yang memohon taraf kewarganegaraan.

Antaranya, rakyat dari negara lain berhajat men­jadi rakyat Malaysia dengan alasan sudah lama berada di negara ini atau berkahwin dengan rakyat Malaysia.

Namun begitu dalam banyak alasan tersebut, kea­daan cukup menekan bagi pemohon yang dilahirkan di Malaysia tetapi mereka tidak diberi kewargane­garaan.

Lebih tertekan apabila dalam kalangan mereka tidak ‘dimiliki’ oleh mana-mana negara. Ibaratnya mereka ‘terkandas’ di tempat lahir sendiri.

Kes-kes permohonan seperti itu berpunca daripada pelbagai masalah dan antaranya individu berkenaan mungkin dilahirkan tanpa diketahui siapa ibu bapa mereka.

Ramai juga yang melibatkan anak pasangan warga asing yang dilahirkan di sini tetapi ditinggalkan be­gitu sahaja tanpa sebarang dokumen oleh keluarga­nya. Ironi­nya ibu bapa yang tidak bertanggungjawab itu mewariskan permasalahan kewarganegaraan kepada anak-anak tersebut.

Begitulah antara senario dalam permohonan taraf warganegara di negara ini.

Malaysia dan mana-mana negara lain meletakkan anugerah kewarganegaraan sebagai sesuatu yang berharga. Justeru setiap pemohon akan disiasat latar belakang dan perlu melalui proses temu duga.

Tanpa menolak prosedur tersebut, kerajaan disarankan agar memberi perhatian kepada pemohon kewarganegaraan yang berusia di bawah 18 tahun. Ini kerana mereka tidak memiliki mana-mana kewarganegaraan walaupun menjalani kehidupan seperti rakyat Malaysia lain.

Golongan tersebut cukup terdesak untuk diterima sebagai warganegara seterusnya dibentuk menjadi insan berguna di negara ini. Sangat tidak adil bagi golongan tersebut untuk dinafikan hak kewarga­negaraan mereka hanya kerana kesilapan ibu bapa individu berkenaan.

Dalam permasalahan tersebut, kerajaan juga harus melihat aspek kepincangan sosial yang tidak terbendung di negara ini sehingga lahirnya individu yang mewarisi masalah tiada kewarganegaraan. Limpahan warga asing dan hubungan tidak sah me­rupakan salah satu gejala sosial yang menyumbang kepada masalah anak-anak dilahirkan tanpa kewarga­negaraan.

Jika aspek sosial tersebut tidak mampu diperbaiki, tahun demi tahun, kerajaan akan terus menerima lebih banyak permohonan bagi anak-anak yang tiada taraf kewarganegaraan.

Justeru, kerajaan dicadangkan segera mencari meka­nisme yang lebih berkesan dalam menyelesaikan isu kewarganegaraan pemohon muda berban­ding pemohon dari negara lain yang sudah memiliki kewarganegaraan.