Menurut sumber, beliau tiba di ibu pejabat SPRM untuk memberi keterangan kira-kira pukul 8.40 pagi tadi berdasarkan catatan kehadirannya di dalam buku pendaftaran suruhanjaya itu.

Sementara itu, Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Husam Musa juga dilaporkan akan hadir ke SPRM hari ini untuk memberi keterangan berhubung kes sama.

Kosmo! Online semalam melaporkan SPRM akan memanggil empat saksi hari ini untuk membantu siasatan kes tersebut.

Keempat-empat saksi itu terdiri daripada ahli politik dan individu dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO). SPRM juga sedang mendapatkan beberapa dokumen dari pihak bank.

Terdahulu, SPRM akan memulakan siasatan ke atas dakwaan beberapa pemimpin Pas menerima wang sebanyak RM90 juta disyaki daripada 1Malaysia Development Bhd. (1MDB).

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi), Datuk Seri Azam Baki berkata, SPRM sedang berusaha mendapatkan dokumen berhubung perbicaraan kes saman fitnah Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang terhadap Sarawak Report di London.

Sebelum ini, laporan portal Sarawak Report pada Ogos 2017 mendakwa dana berjumlah RM90 juta dipercayai dimasukkan ke dalam akaun bank pemimpin atasan Pas bagi menarik sokongan mereka terhadap UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Abdul Hadi kemudiannya memfailkan saman fitnah terhadap pengasas dan editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown di Mahkamah Tinggi di London pada 21 April 2017.

Bagaimanapun, pada 3 Februari lalu, Ahli Parlimen Marang itu memutuskan untuk memuktamadkan penyelesaian berhubung kes samannya di luar mahkamah.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut menegaskan beliau tidak pernah membayar wang sebanyak RM90 juta kepada Pas dan Abdul Hadi. - K! ONLINE