Ahli Parlimen Lembah Pantai, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berkata, pihaknya tidak membantah sebarang kemajuan atau usaha membahasa Inggeriskan nama asal tempat seperti Bangsar South tetapi bagi Kerinchi, biarlah nama itu dikekalkan bagi memastikan generasi akan datang terus kenal sejarah kawasan tersebut.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu penamaan kawasan Kerinchi kepada Bangsar South yang menimbulkan pelbagai rungutan dalam kalangan pejuang Bahasa yang melihatnya sebagai usaha membelakangkan bahasa Melayu.

Beliau ditemui selepas merasmikan Seminar Sehari Isu-Isu Mutakhir Kesusasteraan Melayu Moden di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini hari ini, yang turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abang Shokeran dan Ketua Bahagian Penyelidikan Sastera DBP, Mohd Hanafi Ibrahim.  

Dalam pada itu, beliau menjelaskan beberapa lokasi strategik untuk pembinaan mercu tanda Kerinchi sudah dikenal pasti dan dijangka dilaksana selewat-lewatnya hujung tahun ini.

"Beberapa perbincangan masih diteruskan terutama dengan penduduk dan pemaju serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)," katanya.   

Mengenai reka bentuk mercu tanda itu, Ahmad Fahmi menjelaskan antara idea yang diketengahkan adalah pintu gerbang di laluan masuk utama ke kawasan itu. - Bernama