Persepsi sedemikian sebenarnya sudah berlanjutan sejak sekian lama. Walaupun Semenanjung Malaysia sudah merdeka sejak 31 Ogos 1957, ketidakyakinan terhadap penggunaan nama dalam bahasa Melayu masih belum dapat dipadamkan dalam pemikiran sebahagian rakyat Malaysia.

Nama kondominium, pangsapuri, pusat beli-belah, taman perumahan, nama program dan pelbagai produk perniagaan menggunakan bahasa Inggeris secara meluas walaupun negara ini sudah bebas daripada naungan British.

Lebih pelik lagi nama dalam bahasa Belanda, Portugal dan Jepun tidak menjadi pilihan utama. Belanda dan Portugal pernah menakluk Melaka yang kini berada dalam Malaysia, Jepun pula menjajah Tanah Melayu sebelum kalah dalam Perang Dunia Kedua.

Mungkin bahasa Belanda, Portugal dan Jepun tidak berprestij seperti bahasa Inggeris yang kini digunakan secara meluas di dunia. Seolah-olah terdapat keyakinan bahawa jualan akan laris kerana pembeli bakal berasa selesa berada di dalam bangunan yang menggunakan bahasa Inggeris. Bagaimanapun, penulis berpendapat tanggapan bahasa Melayu tidak mempunyai nilai komersial hanya ciptaan pemikiran sebahagian besar ahli perniagaan di Malaysia. Tanggapan itu akan terpadam dengan contoh paling mudah iaitu buah durian Malaysia.

Durian merupakan nama Melayu yang kini cukup popular dalam kalangan warga Asia dan ahli perniagaan yang kaya di luar Malaysia. Nama durian juga digunakan di Thailand, Singapura, Hong Kong, China, Australia dan Indonesia.

Jualan durian sejuk beku Malaysia juga mencecah sehingga ratusan ringgit di China. Malah terdapat klip video di YouTube yang menunjukkan seorang peniaga wanita mendakwa dia menjual durian Musang dari Malaysia yang merujuk Musang King.

Penggemar durian pula terdiri daripada pelbagai bangsa di Asia dan penduduk berkulit putih. Har­ganya yang tinggi ketika dieksport ke luar Malaysia menunjukkan nama durian mempunyai nilai komersial dan menguntungkan jika dijual di pasaran luar negara.

Nama durian juga digunakan dalam artikel-artikel kesihatan, berita dan majalah di luar negara. Bukan sahaja nama durian tetapi nama Langkawi juga terkenal dalam kalangan pelancong Barat dan Amerika Selatan.

Kuala Lumpur dan Pulau Redang di Terengganu merupakan antara nama dalam bahasa Melayu yang popular dalam kalangan pelancong asing. Tidak ada terjemahan untuk nama Kuala Lumpur, Redang dan durian dalam bahasa Inggeris.

Nama-nama itu disebut dalam bahasa asal iaitu bahasa Melayu. Tidak ada gunanya menamakan bangunan dengan bahasa Inggeris tetapi bangunan yang dibina sejak bertahun-tahun lamanya sudah tidak secantik seperti dahulu.

Penulis pernah melihat sebuah kondominium yang menggunakan nama dalam bahasa Inggeris di Petaling Jaya, Selangor tetapi tidak lagi secantik dahulu kerana cat yang sudah luntur.

Berubahlah dan letakkan kembali nilai bahasa kebangsaan mengatasi keagungan bahasa Inggeris. Kita sewajarnya memperlihatkan karakter sebagai anak Malaysia yang bebas mempunyai jiwa merdeka dan bersikap mengikut Perlembagaan negara.