Menurut beliau, Arul sebenarnya mendapat gaji lebih rendah ketika berkhidmat dengan 1MDB berbanding jumlah yang diterimanya ketika bertugas dengan sebuah bank di Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

Najib berkata Arul sanggup menerima gaji jauh lebih rendah untuk bertugas dengan 1MDB dan malah berjaya mengurangkan hutang syarikat milik negara itu daripada RM50 bilion kepada RM30 bilion.

"Maka, beliau telah menunaikan sebahagian daripada tanggungjawabnya. Anda perlu melihat dalam konteks bahawa jumlah yang dibayar kepadanya adalah jauh lebih kecil daripada yang beliau dapat sebelum menyertai 1MDB," kata Najib kepada pemberita di lobi Parlimen di sini.

Semalam, Menteri Kewangan Lim Guan Eng memberitahu Dewan Rakyat bahawa Najib meluluskan pakej gaji RM5 juta untuk Arul.

Menurut Lim, separuh daripada bayaran itu telah dijelaskan bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini. - Bernama