Katanya, perkara itu boleh dilihat menerusi pelbagai pengiktirafan seperti Forum Ekonomi Dunia yang meletakkan Malaysia sebagai negara ke-23 paling kompetitif di dunia selain jangkaan Bank Dunia bahawa Malaysia kini berada pada ambang ekonomi maju yang boleh dicapai dalam beberapa tahun akan datang.

"Saya harap kerajaan baharu ini tidak buat pindaan semata-mata nak buat pindaan tetapi ia semestinya perlu membawa penambahbaikan daripada apa yang telah kita (kerajaan dahulu) lakukan. 

"Kalau timbul banyak ketidaktentuan maka ini boleh menjejaskan keyakinan pasaran kepada ekonomi Malaysia," katanya ketika ditemui pemberita di lobi bangunan Parlimen di sini hari ini. 

Semalam Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dalam satu jawapan bertulis di Dewan Rakyat berkata, kerajaan akan meneliti semula dasar-dasar utama negara termasuk Dasar Ekonomi Baru dan MEB bagi melihat kerelevanan dasar terbabit.

Sementara itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebarang dasar yang baik tidak wajar dirombak hanya kerana ia dibuat oleh kerajaan terdahulu.

Selain itu, katanya, penelitian semula sesuatu dasar ekonomi juga haruslah mengambil kira perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. - Bernama