Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, perhimpunan tersebut juga bakal dihadiri oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang termasuk wakil pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Saya menyeru seluruh rakyat Malaysia dan pemimpin-pemimpin NGO tanpa mengira agama akan berkumpul di Masjid Putra selama tiga jam mulai 2.30 petang dan berakhir 4 petang untuk sama-sama menunjukkan sokongan terhadap rakyat Palestin,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pekerja Asing dan Pendatang Tanpa Izin (JKKPA-PATI) di Bangunan Perdana Putra di sini semalam.

Turut hadir Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot dan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali.

Pada 13 Disember lalu, Malaysia bersama suara negara-negara Islam mengiktiraf sepenuhnya Baitulmuqaddis kekal sebagai ibu negara Palestin.

Pendirian itu ditegaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa berucap pada Sidang Kemuncak Luar Biasa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di sini susulan tindakan sepihak Amerika Syarikat (AS) mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel.

Sebanyak 18 negara diwakili oleh Presiden atau Perdana Menteri manakala selebihnya pegawai kanan. Mesyuarat dimulakan dengan ucapan pembukaan oleh Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan selaku pengerusi sidang kemuncak ke-13, di Pusat Daga­ngan dan Pameran Antarabangsa Lütfi Kırdar.

Turut hadir ialah Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, Raja Jordan, Raja Abdullah 11 dan Setiausaha Agung OIC, Dr. Yousef Ahmad. - K! ONLINE