Pengerusi PAC Datuk Seri Hasan Arifin dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas membentangkan Laporan PAC berkenaan isu tersebut di Dewan Rakyat hari ini, berkata jawatankuasa berpendapat had tunggakan RM2,000 yang dikenakan sekarang adalah kurang sesuai.

"PAC Parlimen berpendapat had tunggakan cukai tidak kurang daripada RM2,000 bagi individu bagi tujuan sekatan perjalanan ke luar negara yang dilaksanakan oleh LDHN adalah kurang sesuai dengan keadaan ekonomi sekarang," katanya. 

PAC turut mengesyorkan supaya had tunggakan cukai bagi syarikat dinaikkan kepada RM50,000.

Dalam pada itu, Hasan berkata sebelum sekatan dikenakan, LDHN perlu memastikan notis tunggakan cukai disampaikan kepada individu ataupun syarikat mengikut undang-undang seperti yang diamalkan Jabatan Perkkhidmatan Awam. 

"Sistem penyampaian LDHN perlu dinaiktaraf dengan menggunakan teknologi baru seperti sistem pesanan khidmat ringkas (SMS), Whatsapps, dan e-mel dalam menyampaikan peringatkan  notis tunggakan cukai atau sekatan perjalanan ke luar negara. 

"LDHN dan Jabatan Imigresen perlu memastikan pangkalan data mereka sentiasa dikemas kini supaya tidak berlaku kes pembayar cukai yang telah menjelaskan tunggakan cukai tetapi masih mengalami masalah semasa hendak ke luar negara," katanya. 

PAC telah mengadakan mesyuarat prosiding berhubung isu tersebut pada 27 Mac 2017 berikutan penemuan Jabatan Audit Negara dalam pembentangan Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2015 Siri 2 yang dibentangkan di Parlimen pada 21 November 2016. - bernama