Pengerusi Jawatankuasa Sukma Daerah Manjung, Datuk Mohamad Fariz Mohamad Hanip berkata, beliau yakin ia selamat digunakan memandangkan kerja baik pulih dan naik taraf stadium ini telah siap sebanyak 99 peratus.

“Baki satu peratus lagi kita tunggu maklum balas akhir berkaitan tahap pencahayaan oleh pihak Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa).

“Lampu limpah sudah siap dipasang pada Khamis lalu dan kita mahu pihak Pafa memeriksa pencahayaan pada malam esok agar semuanya dalam keadaan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Bilik Gerakan Sukma XIX Perak bagi Daerah Manjung di sini hari ini.

Bilik gerakan itu akan beroperasi selama 24 jam bermula pada 6 September ini.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sahsiah, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat, Wong May Ing.

Tambah Mohamad Faris, setakat ini keperluan untuk melengkapkan aspek keselamatan termasuk pagar dan parkir telah dibuat semaksima mungkin.

Katanya, Rabu ini pihaknya akan memberi ruang kepada mana-mana pasukan untuk menguji padang di stadium tersebut sebelum sepak mula sukan itu pada 7 September ini.

“Kira-kira 1,500 atlet yang terlibat dalam sukan bola sepak, pelayaran dan futsal akan berkampung di daerah Manjung.

“Sebanyak 300 sukarelawan di daerah Manjung akan terlibat dalam Sukma ini," katanya.