Ahli Jemaah Pengarah, Mohd. Hisyamuddin Ghazali berkata, setakat ini pihaknya sudah mempunyai seramai 900,000 ahli peladang di seluruh negara.

Katanya, bagi mencapai sasaran tersebut, pihaknya akan melaksanakan pelbagai program tahun ini untuk menarik penglibatan daripada golongan muda khususnya.

"Antara program yang kita laksanakan adalah Program Reformasi Peladang yang dilaksanakan di 29 lokasi di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak sepanjang tahun ini.

"Program ini melibatkan beberapa segmen menarik yang disediakan bagi setiap lapisan umur termasuk Cerna Minda Tani iaitu Kursus Agropreneur Muda, Jualan Untuk Kita iaitu jualan ayam dengan harga promosi, Ziarah Peladang serta pameran daripada jabatan dan agensi serta syarikat swasta," katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Reformasi Peladang Pengkalan Chepa 2019 di Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Faris Petra di sini hari ini.

Program yang berlangsung selama dua hari itu telah disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada), Datuk Husam Musa.

Sementara itu Husam berkata, usaha mempelbagaikan inovasi dan pembaharuan untuk memodenkan sektor pertanian juga akan menjana keuntungan.

Menurutnya, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani pernah menyatakan keutamaan dan strategi bagi 2019-2020 dirangka berasaskan tiga dimensi sektor agromakanan iaitu keselamatan makanan negara, pembangunan ekonomi luar bandar serta penggalakkan pelaburan swasta dan perdagangan antarabangsa.

"Justeru itu, bagi memastikan pembangunan agromakanan negara terus kompetitif, perhatian serius perlu diberikan pada usaha meningkatkan daya saing kumpulan sasar dengan melaksanakan Reformasi Pertanian melalui penggunaan teknologi moden serta mekanikal bagi memperkasakan sektor pertanian.

"Saya menyokong penuh program seumpama ini dan diharap semoga dengan penganjuran ini dapat memberi manafaat kepada kumpulan sasar khususnya golongan muda," katanya. - K! ONLINE