Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Nafas, Datuk Phahrolrazi Mohd. Zawawi berkata, pihaknya mempunyai bekalan baja yang mencukupi dan ia sebenarnya telah mula diedarkan kepada pesawah seawal minggu pertama April lalu.

Katanya, lebih 21,000 metrik tan pesanan baja diterima daripada Mada di negeri ini dan Perlis setakat 30 April lepas dan daripada jumlah itu sebanyak 7,718 metrik tan baja telah pun dibekalkan manakala baki 14,323 metrik tan akan dibekalkan secara berperingkat sehingga 31 Mei nanti mengikut prosedur pembekalan baja yang telah ditetapkan.

"Kita juga telah hantar 4,367 metrik tan baja sebatian dan 1,279 metrik tan baja urea kepada Mada di Kedah manakala di Perlis pula kita telah hantar baja sebatian sebanyak 1,481 metrik tan dan 591 metrik tan baja urea," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan media semalam mengenai kebimbangan pesawah kawasan Mada kerana belum mendapat bekalan baja bagi penanaman padi musim pertama tahun ini.

Justeru Phahrolrazi berkata, kebimbangan pesawah mengenai lewat menerima baja sepatutnya tidak berlaku melainkan kemungkinan pihak Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) yang lewat menghantar pesanan baja berkenaan.

Katanya, prosedur membekalkan baja semasa menetapkan pembekalan perlu dibuat selewat-lewatnya 30 hari daripada tarikh pesanan diterima.

"Jadi, kita hantar baja mengikut giliran yang mana buat pesanan lebih awal, itu kita hantar dulu. Isu bimbang lewat terima baja ini saya juga tak boleh nak bagi detail, sebab tak tahu di PPK mana, kalau beritahu PPK mana senang untuk kita buat semakan kenapa petani masih tidak dapat baja ini," katanya.

Beliau berkata, sekiranya pesawah menerusi PPK telah membuat pesanan awal namun belum menerima bekalan baja, mereka boleh memaklumkan keadaan itu kepada Nafas supaya tindakan sewajarnya dapat diambil. - Bernama