Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, persediaan rapi perlu dilakukan dari awal kerana ada kemungkinan negara menghadapi bencana baharu seperti taufan dan kemarau yang panjang.

"Walaupun bencana-bencana baharu ini jarang berlaku, kita perlu bersedia dengan perancangan senario awal untuk menghadapi kemungkinan bencana di luar jangkaan pada masa hadapan.

"Mungkin ada beberapa cadangan untuk memberi maklumat tentang sesuatu bencana kepada mangsa seperti membunyikan siren dan menghantar mesej amaran awal supaya mangsa bencana lebih peka," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, Wan Azizah mengadakan mesyuarat dengan Ketua Pengarah Nadma, Datuk Dr. Ahmad Jailani Muhammad Yunus bagi mendapatkan maklumat mengenai perjalanan agensi tersebut dan keperluannya.

Wan Azizah berkata, perbincangan juga telah diadakan dengan Nadma berhubung keperluan mengadakan audit risiko bencana di setiap negeri bagi menangani profil risiko bencana yang mungkin berbeza.

"Soal persediaan yang diperlukan juga mungkin berbeza. Antara persediaan yang diperlukan ialah mengenal pasti aset-aset dan teknologi yang perlu kita perolehi untuk mengurus bencana dengan lebih baik.

"Nadma juga perlu merancang latihan-latihan dengan pelbagai agensi untuk memastikan penyelarasan yang lebih baik di peringkat operasi, ia termasuk dengan pertubuhan bukan kerajaan," katanya. - K! ONLINE