Menurut MyIPO dalam satu kenyataan hari ini, pihaknya sentiasa memandang serius mengenai isu barang tiruan terutama membabitkan golongan yang menjadi rujukan fesyen dan ikutan oleh rakyat di negara ini.

"Kami amat kesal dengan kenyataan sesetengah individu termasuk dalam kalangan selebriti yang secara terbuka mengaku membeli dan menggunakan barangan tiruan, malah ada yang turut mempertikaikan adakah ianya satu kesalahan.

"Perkara tersebut tidak sepatutnya berlaku kerana isu perlindungan harta intelek tidak sepatutnya diambil secara sambil lewa kerana hak pemilik sah telah melaburkan kos dan usaha bagi menghasilkan produk mereka," katanya.

Tambah kenyataan tersebut, MyIPO turut menegaskan bahawa perbuatan menggunakan harta intelek tanpa kebenaran adalah tidak bermoral dan sama seperti mencuri dari pemiliknya.

Dalam pada itu, MyIPO turut menganjurkan kempen kesedaran #JanganCuri untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan orang ramai tanpa mengaibkan atau menjatuhkan maruah individu lain. - K! ONLINE