Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE, Fauziah Mohd. Hasan berkata, antara pusat wanita dan kanak-kanak tersebut termasuklah di Idlib, Syria; Antaknya, Turki; Cox’s Bazar, Bangladesh dan Setapak di sini.

Katanya, dana yang dikumpulkan tersebut akan digunakan untuk memperkasakan wanita-wanita pelarian Palestin, Syria dan Rohingya. 

“Pusat komuniti ini adalah lokasi untuk wanita pelbagai usia membina kehidupan baharu. Kami bekalkan kain dan alat jahitan supaya mereka boleh menjahit baju, selimut dan sebagainya.

“Dana yang diperoleh juga akan digunakan untuk membayar guru-guru yang terdiri daripada sukarelawan dari mana-mana negara yang sudi menjadi tenaga pengajar,” katanya pada sidang akhbar di Restoran Wow KL Theatre di sini hari ini.

Terdahulu, beliau berkongsikan pengalamannya sewaktu menyertai misi flotilla keamanan ke Palestin pada Majlis Lunch4Humanity 6.0 anjuran agensi MyCARE, Rose2Rose untuk mengumpul dana bagi sembilan pusat wanita dan kanak-kanak tersebut.

Turut hadir di majlis itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif MyCARE, Kamarul Zaman Shaharul Anwar; Pengerusi MyCARE, Dr. Hafidzi Mohd. Noor dan aktivis kempen misi flotilla Palestin, Zohar Chamberlain Regev.

Mengulas lanjut, Fauziah berkata, objektif penubuhan pusat komuniti tersebut itu adalah untuk membangunkan kemahiran wanita-wanita yang kehilangan suami akibat peperangan di negara bergolak, sekali gus meneruskan kelangsungan hidup.

“Wanita mahupun ibu tunggal akan dibekalkan dengan kemahiran vokasional seperti kelas menjahit dan memasak, mengaji serta solat, manakala anak mereka pula boleh menggunakan kemudahan permainan yang disediakan di setiap pusat itu ketika ibu mereka menghadiri kelas-kelas yang disediakan,” ujarnya.

Orang ramai yang ingin memberi sumbangan boleh menyalurkannya ke akaun bank Humanitarian Care Malaysia Berhad di Maybank 551575004299, CIMB Islamic (8602135592) dan Bank Islam (12092010034904).