Presiden MVM, Muhammad Jantan berkata, kutipan dana itu bertujuan dalam penyediaan kelengkapan berupa baju sejuk dan kit makanan kepada 6,000 rakyat Syria di kem pelarian di Gaziantep, Turki.

Katanya, misi bantuan tersebut akan dilaksanakan bermula 16 hingga 25 Januari depan dan disertai sehingga lima orang sukarelawan.

"Ini adalah misi ketiga bagi kami dengan kali pertama adalah pada tahun lalu dengan menghantar bantuan berjumlah RM100,000 merangkumi bantuan kit musim sejuk dengan kerjasama Malaysia Life Line For Syria (MLLFS).

"Manakala, sebanyak RM200,000 merangkumi baju sejuk, selimut, dan susu bayi telah disalurkan dengan kerjasama sekali lagi bersama MLLFS pada awal Januari lalu," katanya ketika ditemui selepas majlis pengenalan lima Ikon (MVM) bagi tahun 2019/2020 dan Winter Mission 3.0 di sini hari ini.

Lima orang tokoh dan selebiriti telah dipilih sebagai Ikon MVM iaitu Personaliti Dakwah Malaysia, Datuk Dr. Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim; Penyanyi dan Usahawan, Noorsyarmilla Jirin; Kumpulan Nasyid Inteam, Pendakwah Milenia Musim Kedua, Dai Ahmad Izzhar Ahmad Nazri dan Ketua Pegawai Eksekutif De'Xandra, Ernayanee Nur Julaimi.

Sehubungan itu, Muhammad menjelaskan, orang ramai termasuk golongan korporat yang ingin menyalurkan sumbangan atau bantuan boleh melayari laman sesawang donation MVM di www.donation.org.my. - K! ONLINE