Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Junz Wong berkata, susulan laporan ledakan ubur-ubur khususnya di pantai barat Sabah awal tahun ini, Jabatan Perikanan Sabah telah menghantar satu pasukan untuk menyiasat kejadian di pantai Tanjung Aru itu.

Pasukan yang diketuai oleh Dr. Shuhadah Mustapha daripada Pejabat Biosekuriti Perikanan Likas itu berjaya mengenal pasti satu spesies yang dominan dikenali ubur-ubur pasir, iaitu ubur-ubur bertompok hitam dan sesungut ubur-ubur ini boleh menyebabkan kegatalan atau alergi apabila bersentuhan dengan kulit, mengakibatkan radang dan bengkak pada bahagian berkenaan.

"Orang ramai perlu memakai pakaian mandi yang menutupi seluruh badan untuk mengelak daripada disengat selain tidak mengutip ubur-ubur yang mati kerana ia mungkin masih mempunyai nematocystsyang masih hidup dan boleh membebaskan toksin (walaupun selepas haiwan itu kering)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut menasihati orang ramai agar mematuhi papan tanda amaran selain menjauhi kawasan pantai yang dipacakkan bendera merah, menandakan kehadiran ubur-ubur.

"Paling penting, orang ramai harus sentiasa berhati-hati ketika melakukan aktiviti di laut," katanya. - Bernama