Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, pihaknya mendapati berlaku peningkatan kes kemalangan jalan raya ketika musim tengkujuh seperti sekarang.

"Walaupun hari ini saya tidak ada jumlah peningkatan yang tepat, faktor cuaca antara penyumbang kepada peningkatan kemalangan jalan raya di negeri ini ditambah sekarang  musim cuti persekolahan.

"Kita mahu masyarakat yang pulang ke negeri ini lebih berwaspada kerana ketika ini jalan raya licin, ada sesetengah kawasan terdapat takungan air yang memenuhi jalan, ia akan  menyebabkan kenderaan mudah terbabas sekali gus boleh menyebabkan kemalangan," katanya selepas menyaksikan Majlis Terima Serah Tugas Ketua Polis Daerah Jeli di Ibu Pejabat  Polis Daerah (IPD) Jeli di, sini hari ini.

Majlis tersebut menyaksikan Deputi Superintendan Mohd. Yusoff Jaafar yang bersara menyerahkan tugas kepada pemangkunya Asisten Superintendan Nik Ahmad Kamil Che Ahmad.

Azmi berkata, pemandu juga perlu bersikap bertolak ansur ketika memandu pada musim ini.

"Bertolak ansur, jangan ingat jalan raya itu hanya kegunaan diri sendiri fikirkan keselamatan orang lain kerana musim ini penglihatan pemandu turut terbatas akibat kabus dan hujan.

"Kita lihat banyak  kes kemalangan ketika ini di Kota Bharu, Gua Musang, Kuala Krai, Jeli dan daerah lain yang tidak boleh salahkan faktor cuaca semata-mata, lebih penting sikap pemandu itu sendiri," katanya. - Bernama