Bagaimanapun, cuti pada Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitri, Krismas mahupun Deepavali tidak pernah dikhaskan kepada mereka yang menyambut perayaan tersebut semata-mata.

Sesiapa sahaja boleh memohon cuti tetapi kebiasaannya, kelulusan cuti sudah pasti akan berpihak kepada mereka yang menyambut perayaan pada ketika itu. Perkara tersebut tiada masalah dan lazimnya rakan-rakan sekerja saling memahami isu semudah itu.

Begitupun, semua orang tahu, cuti pada setiap perayaan amat istimewa lebih-lebih lagi bagi mereka yang bekerja di perantauan dan sekali-sekala mahu berkongsi hari bermakna itu bersama ahli keluarga yang jarang bertemu.

Namun begitu satu masalah yang tidak pernah selesai menjelang cuti musim perayaan adalah kesesakan jalan raya. Kesesakan jalan pada setiap kali musim cuti raya mengundang mimpi ngeri bagi mereka yang pernah melaluinya.

Tidak kira laluan mana sama ada utara, timur mahupun selatan, pokok pangkalnya akan sesak. Sesak sehingga ramai yang serik apabila memikirkan untuk pulang ke kampung untuk beraya.

Sebagai contoh perjalanan ke Alor Setar, Kedah yang hanya perlu masa enam jam bagi hari biasa boleh melangkau sehingga 15 jam pada musim raya. Bagi perjalanan ke Kota Bharu, Kelantan yang pada hari biasa hanya memakan masa lapan hingga 10 jam tetapi pada musim raya boleh mencecah sehingga 18 jam.

Membayangkan terperangkap dalam lautan kenderaan membuatkan ramai dalam kalangan warga kota perlu merancang perjalanan sebaik-baiknya, mencongak masa sesuai untuk bertolak dan paling penting menyediakan minda jika benar-benar tersangkut dalam kesesakan.

Mudah untuk orang di luar sana memberi pelbagai pendapat atau nasihat bagi mengelakkan kesesakan tetapi hakikatnya warga kerja dan bagi golongan yang masih bersekolah, cuti bukan sesuatu yang boleh diambil dan dihabiskan sesuka hati.

Justeru, dalam isu ini, sukacitanya dimohon kepada pihak-pihak pengendali lebuh raya dan pihak penguat kuasa yang diamanahkan menjaga trafik di ibu negara atau mana-mana bandar besar melakukan sesuatu bagi mengelak kesulitan tradisional tersebut.

Era terperangkap dalam kesesakan jalan lebih-lebih lagi di lebuh raya sepatutnya sudah tidak berlaku. Lebih menyakitkan hati, laluan lebuh raya bukan percuma tetapi berbayar malah bayarannya bagi yang ke utara bukan murah sehingga ada yang melebihi gaji kerja lapan jam pekerja sambilan pelajar yang menunggu keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia. 

Alasan kesesakan pada musim raya merupakan perkara biasa tidak lagi relevan sebaliknya pengendali dan pihak penguat kuasa yang bertanggungjawab dalam hal tersebut harus melakukan tindakan sesuai agar masalah tersebut selesai.

Kadangkala kesesakan jalan bukan hanya berpunca daripada pertambahan kenderaan warga kota mahu pulang ke kampung tetapi ada sebahagiannya disumbangkan oleh kemalangan dan sebahagian kecil mungkin disebabkan operasi oleh polis atau Jabatan Pengangkutan Jalan sempena musim perayaan.

Walau apapun punca kesesakan, semua pihak yang bekerja menjaga aliran trafik harus mempunyai kaedah bagi menyelesaikan kesesakan yang menjadi kebencian ramai orang.