Mohd. Khuzairi Bidin, 44, berkata, durian di dusunnya dekat Batu 19 Jalan Telemong di sini mula gugur sejak Sabtu lalu.

"Alhamdulillah. Durian kali ini agak banyak. Setakat ini jenis durian kampung sahaja yang gugur dan mula dijual pada harga RM12 sekilogram.

"Durian jenis D24 dan Musang King masih belum gugur," katanya yang berniaga buah tersebut di Dataran Karak di sini.

Memandangkan permintaan meningkat, Mohd. Khuzairi yang mengusahakan dusun seluas empat hektar turut menyediakan kerusi dan meja bagi memudahkan pelanggan makan durian segar di gerainya.

Peniaga itu memberitahu, sebanyak 182 batang pokok  durian di kebunnya juga sudah mengeluarkan hasil sebanyak tiga kali sepanjang tahun ini.

"Saya telah menjual dengan pendapatan mencecah lima angka sebelum ini termasuk mengadakan pesta durian dengan mengenakan bayaran RM28 seorang untuk menikmati durian jenis kampung, D2 dan D24 sepuas-puasnya," ujarnya.

Menurutnya, jualan durian dijual mengikut harga pasaran dan hasil yang diperoleh di kebunnya namun tidak melebihi RM15 sekilogram bagi durian kampung. - K! ONLINE