Ketika itu, ramai orang meluahkan perasaan tidak puas hati dengan kenaikan harga tersebut di laman sosial.

Ekoran harga mahal itu, terdapat juga sindiran sinis iaitu apa lagi yang boleh dimakan oleh golongan miskin apabila harga ikan kembung melonjak naik sehingga RM25 sekilogram.

Pada tahun lalu juga, durian Musang King dijual pada harga mencecah RM60 sekilogram. Namun, episod harga mahal itu tidak berlaku pada tahun ini. Harga durian Musang King jatuh kepada RM20 sekilogram.

Ikan kembung pula dijual hanya 5 sen seekor di Sungai Petani, Kedah kelmarin.

Bukan sahaja ikan kembung yang juga dikenali sebagai ikan temenung tetapi durian udang merah dan IO1 turut dijual murah. Baru-baru ini, seorang peniaga di Kulim, Kedah menjual durian kampung pada harga RM1 sebiji. Bagaimanapun, setiap penurunan harga mesti ada punca yang munasabah.

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mendedahkan harga durian jatuh kerana pengeluaran buah itu meningkat tiga kali ganda berbanding tahun lalu.

Faktor cuaca tidak terlalu kering menyebabkan musim buah durian menjadi dan berlaku secara serentak di seluruh negara.

Begitu juga dengan ikan kembung. Nelayan kini mudah menangkap ikan kembung dalam kuantiti yang banyak kerana berlaku perubahan angin Monsun Timur Laut. Sudah menjadi resam dunia, jika hasil pertanian seperti buah durian dan tangkapan ikan berkurangan, harga akan meningkat naik.

Ia merupakan teori eko­nomi mudah yang sepatutnya di­fahami oleh rakyat Malaysia.

Tiada juga alasan tersembunyi yang menyebabkan harga ikan kembung dan durian naik dan turun. Sepatutnya, rakyat Malaysia perlu mengetahui bila musim ikan kembung dan musim buah durian di negara ini. Jika di luar musim, ikan yang popular dalam kalangan penduduk Malaysia itu akan menjadi mahal.

Adalah tidak munasabah dan rasional apabila berlaku kenaikan harga terdapat tuduhan bahawa penjual dan peraih ikan cuba mengaut keuntungan berlebihan.

Jika alasan itu diambil kira, adakah penjual buah durian dan ikan kembung di Kulim dan Sungai Petani bermurah hati dengan mengambil keuntungan terlampau sedikit apabila menjual pada harga yang murah? Hasil pertanian dan perikanan tidak akan kekal murah pada setiap hari dan tahun kerana ia bergantung kepada faktor cuaca serta iklim. Apabila laut bergelora, nelayan sukar untuk pergi ke laut menyebabkan hasil tangkapan berkurangan

Hasil tangkapan berkura­ngan itu menyebabkan harga ikan naik disebabkan permintaan tinggi daripada pengguna.

Faktor harga barang basah meningkat pada setiap kali hari perayaan juga mempunyai kaitan dengan permintaan pengguna yang tinggi berbanding produk yang ditawarkan oleh pihak penjual. Justeru itu, janganlah merungut setiap kali harga barangan menjadi mahal dan membuat tuduhan bahawa penjual mahu mengaut keuntungan berlebihan secara sewenang-wenangnya. Apabila berlaku episod harga ikan kembung dan durian menjadi murah, rakyat Malaysia perlulah bersyukur kerana terdapat peniaga yang mengamalkan etika perniagaan yang luhur seperti Khairol Azelan Johari di Sungai Petani, Kedah. Dia sanggup menjual 6,000 ekor ikan kembung pada harga 5 sen seekor.

Semangat yang ditunjukkan oleh pemuda berusia 37 tahun itu diharapkan akan dicontohi oleh peniaga lain di seluruh Malaysia. Dia mengambil inisiatif dengan turut mengadakan promosi jualan murah dengan menjual udang galah pada harga 70 sen hingga RM1 seekor dan ikan cencaru pada harga 20 sen seekor. Jika ramai peniaga dan usahawan seperti Khairol Azelan di negara ini, penulis berpendapat masalah kos sara hidup tinggi yang ditanggung oleh sebahagian besar rakyat negara ini boleh diselesaikan dengan mudah.