Pemandangan indah bunga yang mekar dan berguguran jatuh ditiup angin itu boleh dinikmati di sepanjang Jalan Langgar dan Jalan Kuala Kedah di sini serta di beberapa lokasi di daerah Yan, Kuala Muda dan Jitra dekat sini.

Bunga dari pokok tecoma tersebut lebih dikenali sebagai 'sakura Kedah' dalam kalangan penduduk di negeri ini disebabkan pohonnya seakan-akan pokok sakura di Jepun.

Pengarah Pertanian Kedah, Eliyas Saad berkata, kebanyakkan pokok tecoma yang ditanam sebagai pokok hiasan dan teduhan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) di tepi jalan utama dan Lebuh Raya Utara-Selatan di negeri ini mekar secara serentak pada musim ini.

"Pokok-pokok tecoma mengeluarkan bunga yang lebat atas beberapa faktor antaranya tempoh masa cahaya yang panjang serta musim panas dan kering secara berterusan bagi menggalakkan proses pendebungaan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Kata beliau, musim bunga tecoma boleh bertahan sehingga tiga minggu, bagaimanapun tempoh tersebut akan menjadi lebih pendek jika berlaku hujan berpanjangan.

"Bunga tecoma yang mekar ini mudah gugur terutama ketika hujan," ujarnya.

Tambahnya, bunga tersebut dikenali sebagai sakura dalam kalangan penduduk Kedah bagi memberi gambaran yang mudah tentang musim bunga di negeri ini yang seakan-akan musim bunga sakura di Jepun.

Sementara itu, penduduk, Muiz Salleh, 27, berkata, kebanyakkan pokok tecoma mengeluarkan bunga dengan lebat secara serentak pada tahun ini berbanding tahun lalu.

"Saya lihat bunga dari pokok tecoma ini bertambah mekar dan berguguran ditiup angin di bahu jalan di Jalan Langgar ini selepas hujan pada malam Ahad lalu.

"Pokok ini memerlukan cuaca panas yang berterusan sebelum mengeluarkan bunga dengan banyak selepas hujan," katanya. - K! ONLINE